Makanan untuk mata sihat

Mata merupakan organ tubuh yang penting dan bernilai bagi setiap insan. Oleh itu, jagalah mata sebaiknya. Berikut adalah beberapa fakta pemakanan khas untuk mata sebagai hadiah daripada ibu bapa untuk anak tersayang.
Penjagaan mata sangat penting terutamanya pada peringkat awal perkembangan deria penglihatan. Atas alasan inilah ibu bapa perlu memainkan peranan dan bertanggung jawab untuk memastikan mata anak dijaga sebaiknya. Penjagaan mata bermula dengan makanan untuknya. Sajikan hanya yang terbaik untuk anak anda.

Vitamin-vitamin yang diperlukan oleh mata

Protein

Protein adalah bahan asas yang diperlukan untuk nutrisi, perkembangan dan proses baik pulih tubuh. Protein juga berperanan besar terhadap metabolisme serta pemprosesan bahan kimia dan enzim yang berlaku dalam badan.

Kalsium

Makanan yang kaya kalsium juga baik untuk mata kerana kalsium berfungsi untuk menghapuskan ketegangan ocular. Kekacang dan produk soya, hasil tenusu, ikan, udang, sotong, walnut, cendawan dan biji teratai adalah antara makanan yang kaya kalsium.

Vitamin A

Vitamin A bagus untuk menangani pelbagai jenis masalah mata termasuklah masalah penglihatan kurang jelas ketika waktu gelap ataupun suram. Makanan yang kaya dengan vitamin A ialah minyak ikan, lobak merah, telur, keju, mentega, susu, sayur-sayuran hijau dan oren.

Vitamin B

Vitamin B kompleks diperlukan untuk memastikan mata terus sihat. Kekurangan vitamin B2 boleh menyebabkan mata berwarna merah, rasa panas, masalah katarak dan sensitif terhadap cahaya yang terang. Makanan yang boleh diambil ialah seperti bijirin, gandum dan ekstrak yis.

Vitamin C

Vitamin C dipercayai mampu mengelakkan mata daripada katarak dan glaukoma. Didapati mata yang sihat mengandungi vitamin C yang banyak. Antara makanan yang kaya vitamin C ialah buah-buahan sitrus, tomato, sayuran berdaun hijau dan kentang.

Vitamin E

Vitamin ini diperlukan untuk menghalang katarak. Ia membantu menyihatkan salur darah dan retina. Sumbernya ialah minyak sayur-sayuran, roti gandum, bijirin, dan sayur-sayuran hijau.

Zink

Zink diperlukan bagi membolehkan retina berfungsi dengan baik. Zink juga diperlukan bagi mengeluarkan vitamin A dari hati untuk digunakan oleh mata. Makanan yang kaya dengan zink ialah daging merah, kekacang, sardin, hati, dan kerang-kerangan.

Tanda-tanda mata kekurangan nutrisi:

Sukar menyesuaikan mata dengan perubahan cahaya terutamanya pada waktu malam.
Mata rasa kering, gatal, panas dan berwarna merah.
Bermasalah untuk memfokus.
Sukar untuk memberikan tumpuan terhadap sesuatu objek.
Kesimpulannya, kanak-kanak yang mempunyai masalah seperti yang tercatat di atas, perlulah segera dibawa berjumpa pakar untuk menjalani pemeriksaan mata.

Makanan khas untuk mata:

Ikan
Hati
Labu
Lobak merah
Bayam
Brokoli
Tomato
Telur
Kekacang
Air yang banyak
Bijirin
Info penting

‘Xerophthalmia’ ialah masalah penglihatan yang disebabkan oleh kekurangan vitamin A dan boleh dielakkan dengan memakan sayur-sayuran segar, lemak dan protein.
Dua jenis antioksida yang dikenali sebagai ‘carotenoids’ yang dipanggil ‘Lutein’ dan ‘Zeaxanthin’ mampu menyihatkan mata. ‘Lutein’ ada dalam mangga, ‘bilberries’, dan sayuran berdaun hijau. ‘Zeaxanthin’ pula ada dalam brokoli, jagung, salad (kecuali ‘iceberg’), oren, dan telur.
Memasak sayur-sayuran dengan sedikit minyak dalam tempoh yang singkat membantu tubuh menghasilkan Retinol. Retinol ialah vitamin yang penting untuk perkembangan penglihatan dan tulang.
Untuk mata yang sihat, hadkan pengambilan gula, minuman berkarbonat, makanan bergoreng, roti putih, kek, dan coklat.

Kurangkan pengambilan garam untuk kanak-kanak

Demi kesihatan, orang dewasa tidak dibenarkan mengambil garam lebih daripada 6gm sehari. Berdasarkan gaya dan corak pemakanan harian anda dan keluarga, cuba congak berapa banyakkah anak anda terlebih makan garam. Jawapannya tentu menyeramkan. Teruskan bersama artikel ini untuk maklumat selanjutnya.
Sudah menjadi kelaziman orang ramai lebih risaukan terlebih mengambil gula berbanding terlebih ambil garam. Sebenarnya, apa benda sekalipun jika diambil berlebihan pasti akan memudaratkan. Tapi, untuk kali ini dibawakan kepada anda perihal pengambilan garam berlebihan oleh kanak-kanak.

Secara umumnya, garam berfungsi untuk mengawal keseimbangan cecair badan bagi memastikan otot dan saraf dapat berfungsi dengan baik. Selain itu, garam juga membantu mengekalkan tekanan darah pada tahap yang normal. Kanak-kanak perlukan sangat sedikit garam dalam kehidupan seharian mereka. Terlebih mengambil garam boleh menyebabkan peningkatan risiko tekanan darah tinggi, strok dan serangan jantung. Walaupun semua penyakit ini lazimnya menyerang orang dewasa, ini tidak bermakna kanak-kanak terlepas daripadanya. Pengambilan garam yang berlebihan ketika kanak-kanak merupakan penyumbang peningkatan tekanan darah apabila dewasa kelak. Pada masa yang sama, kandungan garam yang tinggi juga boleh membahayakan buah pinggang.

Atas alasan ini, anda disarankan agar tidak menambah garam dalam makanan anak. Anda juga disarankan agar perhatikan label pada makanan siap proses yang anda belikan untuk mereka. Periksa kandungan garamnya. Elakkan membeli makanan yang tinggi kandungan garamnya.

Antara makanan yang perlu dihadkan pengambilannya:

Sosej dan burger.
Sos, kicap dan perisa tambahan.
Makanan ringan.
Jeruk.
Makanan awet seperti ikan masin, telur masin dan budu.
Makanan dalam tin.
Kuantiti maksimum pengambilan garam berdasarkan usia:

1-3 tahun (2gm sehari)
4-6 tahun (3gm sehari)
7-10 tahun (5gm sehari)
11 tahun ke atas (6gm sehari

10 makanan bagus untuk otak kanak-kanak

1. Salmon

Salmon merupakan sumber asid Omega 3 yang sangat baik. Kanak-kanak yang makan salmon sekurang-kurangnya dua kali seminggu akan mempunyai minda yang tajam.

2. Telur

Sumber protein yang sangat mudah boleh didapati daripada telur. Kuning telur mengandungi choline yang penting untuk perkembangan otak.

3. Mentega kacang

Kacang dan mentega kacang kaya dengan vitamin E iaitu antioksida yang mengawal membran saraf.

4. Bijirin penuh

Otak memerlukan tahap gula secukupnya untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Pengambilan bijirin pada waktu pagi mampu memenuhi keperluan tersebut

5. Oat

Oat merupakan bijirin untuk otak. Kanak-kanak yang mengambil bijirin ketika bersarapan akan mendapat tenaga pertama untuk otaknya daripada oat. Oat yang kaya dengan serat juga menyediakan tenaga sepanjang pagi untuk anak.

6. Buah beri

Buah-buah beri seperti strawberi, blueberries, ceri mengandungi antioksida yang sangat berkuasa. Vitamin C yang terkandung di dalamnya dikatakan mampu mengelakkan serangan penyakit kanser. Kanak-kanak yang mengambil buah beri secara konsisten akan dapat memperbaiki daya ingatannya.

7. Kekacang

Kekacang merupakan makanan otak yang utama untuk mengekalkan tahap tenaga pemikiran manusia.

8. Sayur-sayuran berwarna-warni

Warna terang pada sayur-sayuran segar sangat baik kerana warna tersebut menandakan kehadiran antioksida padanya selain daripada vitamin dan mineral yang penting. Antioksida mengekalkan sel otak yang kuat.

9. Susu dan yogurt

Protein dan vitamin B yang ada dalam produk tenusu penting untuk pertumbuhan tisu otak, enzim dan neurotransmitters. Susu dan yogurt juga kaya dengan protein dan karbohidrat yang merupakan sumber tenaga untuk otak.

10. Daging tanpa lemak

Daging tanpa lemak merupakan antara sumber makanan yang kaya dengan zat besi. Zat besi merupakan mineral yang penting untuk tumbesaran kanak-kanak dan membantu mereka menumpukan perhatian terhadap pelajaran di sekolah. Daging lembu juga mengandungi zink yang bagus untuk memori.

Makanan Tengahari yang hebat untuk anak-anak

Ketika hidangkan makanan tengah hari untuk anak, ada enam perkara perlu diberi perhatian.

Perkara 1

Pastikan menu anda ada buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Selain daripada kaya dengan serat dan vitamin, kedua-duanya menjadikan pinggan anak anda berwarna-warni. Anak tentu suka.

Perkara 2

Kanak-kanak perlukan lemak untuk memastikan mereka kekal sihat. Lemak juga membuatkan anak kenyang. Akan tetapi, jangan terlebih beri lemak pada anak. Lemak boleh didapati daripada keju, daging, minyak dan kekacang.

Perkara 3

Jangan lupa tentang kepentingan bijirin. Antara yang termasuk dalam kategori bijirin ialah roti, nasi dan pasta. Semuanya mengandungi nutrien yang baik untuk tumbesaran anak. Jadi, jangan lupa hidangkannya pada anak.

Perkara 4

Seimbangkan pengambilan makanan anak. Apabila bercerita tentang pemakanan yang seimbang, maknanya makanan yang diambil mestilah meliputi semua kumpulan makanan. Misalnya, mesti ada bijirin, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan sumber protein dan produk tenusu.

Perkara 5

Sebenarnya, hidangan tengah hari yang lengkap bukan hanya membabitkan makanan tetapi juga minuman. Ramai kanak-kanak gemar mengambil susu bersama hidangan tengah hari mereka. Tetapi sekiranya anak anda tidak begitu, jangan risau kerana susu boleh ditukar dengan air kosong. Akan tetapi elakkan daripada memberi anak minum minuman berkarbonat semasa makan tengah hari.

Perkara 6

Pastikan hidangan tengah hari anak tidak sama setiap hari. Hal ini penting bagi mengelakkan mereka rasa bosan. Selain itu, kepelbagaian hidangan makanan tengah hari dapat membekalkan nutrien yang berbeza kepada anak.

Sarapan Yang baik Untuk Kanak-kanak

Memulakan hari yang baru mestilah dengan perkara yang baik. Bukan sahaja perbuatan tetapi juga dengan pemakanan. Barulah ceria.

Pengambilan sarapan yang berkhasiat membantu anak anda menjadi lebih fokus dan memberikan tumpuan penuh terhadap setiap aktiviti yang dilakukannya. Tapi, apakah makanan kaya khasiat yang sesuai untuk dijadikan sarapan anak? Bersama-sama ini ada beberapa panduan yang boleh anda ikuti.

Berikan anak:

Makanan berkanji.
Misalnya roti dan nasi. Makanan seperti ini penting kerana dapat membekalkan tenaga kepada kanak-kanak. Jika ingin memberi anak makan roti, pastikan roti itu pelbagai. Setiap hari roti yang berbeza dan menu yang berbeza. Contohnya, roti putih dibuat sandwic, roti gandum dibuat roti bakar dan roti pita pula dimakan bersama inti daging kisar. Jika anda ingin hidangkan kepada anak nasi pula, buatlah nasi goreng, nasi lemak atau bubur nasi.

Buah-buahan
Ketika bersarapan, elok jika anda dapat menghidangkan anak dengan buah-buahan. Paling tidak pun dengan jus buah segar. Hal ini kerana buah-buahan mengandungi banyak nutrien yang baik untuk kesihatan kanak-kanak. Termasuklah vitamin C. Makanan yang mengandungi vitamin C akan membantu kanak-kanak menyerap zat besi daripada makanan yang diambil mereka. Sebagai ibu bapa, anda kenalah pastikan anak mengambil sekurang-kurangnya 5 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Antara buah-buahan yang dicadangkan ialah buah epal, oren, anggur dan pisang.

Bijirin sarapan pagi
Bijirin sarapan pagi juga pilihan yang baik untuk sarapan anak kerana mengandungi tenaga dan beberapa vitamin dan mineral penting yang diperlukan tubuh. Akan tetapi, anda perlulah berhati-hati kerana di pasaran ada bijirin-bijirin yang mengandungi terlalu banyak gula dan garam. Untuk memastikan anda tidak tersalah pilih, perhatikan maklumat pemakanan yang terdapat pada kotak. Cari yang kurang manis dan kurang masin. Bagi menambahkan selera anak, tambahkan dengan potongan buah-buahan segar atau kismis. Secara tidak langsung, anak anda juga akan dapat khasiat daripada buah-buahan.

Susu dan hasil tenusu
Untuk tulang dan gigi yang kuat dan sihat, jangan lupa berikan anak makanan yang kaya dengan kalsium seperti susu, keju dan dadih.

Anak Dyslexia Mampu jadi Popular

Oleh: EDITORIAL PAMA
Tarikh: 7 Disember 2011

Jika suatu ketika dulu, kanak-kanak yang menghadapi masalah untuk belajar dianggap bodoh atau malas, tetapi kini anggapan tersebut mungkin boleh disanggah.

Terdapat banyak kemungkinan yang boleh diandaikan tentang perkara ini. Mereka mungkin berada dalam kategori lembap (slow learner), hiperaktif ataupun mengalami dyslexia.

Dyslexia bukanlah satu penyakit yang berbahaya tetapi merupakan masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak apabila mereka ke sekolah.

Sungguhpun begitu, sekiranya tidak dibendung dari awal masalah ini akan menjejaskan peribadi dan keyakinan diri anak kerana mereka sering dipandang rendah dan diasingkan. Dyslexia berasal daripada bahasa Greek bermaksud “bermasalah dengan perkataan”. Pada asasnya masalah ini berkait dengan pertuturan, bacaan, tulisan, konsentrasi dan ingatan. Dyslexia melibatkan masalah dalam matematik, bahasa asing, muzik dan pengurusan kendiri.

Ibu bapa perlu mengenal pasti masalah anak mereka lebih awal lagi iaitu sebelum mereka dihantar ke sekolah. Dengan cara ini, intervensi awal dapat dilakukan untuk membantu anak tersebut.

Mungkin ramai ibu bapa tidak peka tentang masalah dyslexia dan hanya menyedarinya bila anak sudah ke sekolah, itu pun jika guru terbabit peka dengan keadaan muridnya. Sekiranya tidak dibendung dari awal, pastinya masalah ini boleh menjadi lebih besar. Kanak-kanak tersebut terpaksa menerima tohmahan bahawa dia seorang bodoh, degil, malas dan sebagainya. Sedikit sebanyak emosinya akan terganggu dan seterusnya menjejaskan pelajarannya di sekolah. Walaupun masalah asasnya hanya berkait dengan bahasa tetapi jika dibiarkan ini akan merumitkan dan menjejaskan pelajaran mereka.

Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak bermasalah dyslexia dapatkan bantuan daripada persatuan terbabit seperti Persatuan Dyslexia Wilayah Persekutuan di Titiwangsa. Mereka memerlukan bantuan daripada kita untuk terus mengharungi kehidupan ini. Sekiranya mereka dibimbing dengan cara yang betul tidak mustahil mereka akan berjaya seperti manusia lain.

Tahukah anda bahawa beberapa orang ternama seperti Winston Churchill bekas Perdana Menteri Britain, pelukis terkenal Leonardo da Vinci, Bill Gates pengasas Microsoft Company dan pelakon Hollywood Tom Cruise merupakan orang yang mengalami dyslexia.